Ketaqwaan
Allah Ta'ala berfirman:
"Hai sekalian orang yang beriman, bertaqwalah engkau semua
kepada Allah dengan sebenar-benarnya ketaqwaan." (ali-lmran:
102)
Allah Ta'ala berfirman pula:
"Maka bertaqwalah engkau
semua kepada Allah
sekuat-kuatmu." (at-Taghabun:
16)
Ayat ini menjelaskan apa yang dimaksudkan dari ayat yang
pertama.
Lagi Allah Ta'ala berfirman:
"Hai sekalian orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan
berkatalah dengan kata-kata yang betul - sesuai dengan apa yang sesungguhnya."
(al-Ahzab: 70)
Ayat-ayat yang berhubungan dengan perintah bertaqwa itu banyak sekali
dan dapat dimaklumi.
Allah Ta'ala berfirman lagi:
"Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan membuat
untuknya jalan keluar - dari segala
macam kesulitan - dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka."
(at-Thalaq: 2-3)
Allah Ta'ala berfirman pula:
"Jikalau engkau semua bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan
menjadikan untukmu semua pembezaan - antara kebenaran
dan kesalahan, juga menutupi kesalahan-kesalahanmu serta mengampuni dosamu dan
Allah itu memiliki keutamaan yang agung." (al-Anfal: 29)
Ayat-ayat dalam bab ini banyak sekali dan dapat dimaklumi. Adapun
Hadis-hadisnya ialah:
69. Pertama: Dari Abu Hurairah r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. ditanya: "Ya Rasulullah, siapakah orang yang
semulia-mulianya?"
Beliau s.a.w. bersabda: "Iaitu orang yang bertaqwa di antara engkau
semua.
Orang-orang berkata: "Bukan ini yang kita tanyakan." Beliau s.a.w,
menjawab: "Kalau begitu ialah Nabi Yusuf, ia adalah Nabiullah, putera Nabiullah
dan ini pun putera Nabiullah pula dan ini adalah putera khalilullah - kekasih
Allah yakni bahawa Nabi Yusuf itu adalah putera Nabi Ya'qub putera Nabi Ishaq
putera Nabi Ibrahim iaitu Khalilullah."
Orang-orang berkata lagi: "Bukan ini yang kita tanyakan." Beliau
s.a.w. menjawab pula: "Jadi tentang orang-orang yang merupakan pelikan-pelikan -
pembesar-pembesar - dari bangsa Arab yang engkau semua tanyakan padaku?
Orang-orang yang merupakan pilihan di antara bangsa Arab itu di zaman Jahiliyah,
itu pula lah yang merupakan orang-orang pilihan di zaman Islam, jikalau mereka
mengerti hukum-hukum agama." (Muttafaq 'alaih)
Lafaz Faquhuu jika dibaca dengan didhammahkan qafnya adalah
masyhur, tetapi ada yang mengatakan dengan mengkasrahkan qaf, lalu dibaca
Faqihuu, ertinya ialah "mengerti akan hukum-hukum syara'."
70. Kedua: Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w.
sabdanya:
"Sesungguhnya dunia ini manis dan menghijau - yakni lazat dan nyaman
- dan sesungguhnya Allah itu menjadikan engkau semua sebagai pengganti di bumi
itu, maka itu Dia akan melihat apa-apa yang engkau lakukan. Oleh kerananya, maka
takutilah harta dunia dan takutilah pula tipu daya kaum wanita. Sebab
sesungguhnya pertama-tama fitnah yang melanda di kalangan kaum Bani Israil
adalah dalam persoalan kaum wanita." (Riwayat Muslim)
71. Ketiga: Dari Ibnu Mas'ud r.a. bahawasanya Nabi s.a.w.
bersabda:
"Ya Allah, sesungguhnya saya memohonkan padaMu akan petunjuk,
ketaqwaan, menahan diri dari apa-apa yang tidak diperkenankan serta kekayaan
hati." (Riwayat Muslim)
72. Keempat: Dari Abu Tharif, iaitu 'Adi bin Hatim Aththa'i r.a.,
katanya; "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang bersumpah atas sesuatu persumpahan, kemudian ia
mengetahui hal yang keadaannya lebih menjurus kepada ketaqwaan terhadap Allah
daripada persumpahan yang dilakukannya tadi, maka hendaklah mendatangi - memilih
-ketaqwaan itu saja." (Riwayat Muslim)
73. Kelima: Dari Abu Umamah iaitu Shuday bin 'Ajlan al-Bahili r.a.,
katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. berkhutbah dalam haji wada' - haji
terakhir bagi beliau s.a.w. sebagai mohon diri, kemudian beliau s.a.w.
bersabda:
"Bertaqwalah kepada Allah, kerjakanlah shalat lima waktumu,
lakukanlah Puasa dalam bulanmu - Ramadhan, tunaikanlah zakat harta-hartamu dan
taatilah pemegang-pemegang pemerintahanmu, maka engkau semua akan dapat memasuki
syurga Tuhanmu."
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dalam akhir kitab bab shalat dan ia
mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.
No comments:
Post a Comment