Bersegera Kepada Kebaikan Dan Menganjurkan Kepada Orang Yang Menuju
Kebaikan Supaya Menghadapinya Dengan Sungguh-sungguh Tanpa
Keragu-raguan
Allah Ta'ala berfirman:
"Maka berlumba-lumbalah engkau sekalian untuk mengerjakan berbagai
kebaikan." (al-Baqarah: 148)
Allah Ta'ala berfirman pula:
"Dan bersegeralah engkau sekalian menuju pada pengampunan dari
Tuhanmu dan juga memasuki syurga yang luasnya adalah seperti langit dan bumi,
disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa." (ali-lmran:
133)
Adapun Hadis-hadisnya ialah:
87. Pertama: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Bersegeralah engkau sekalian untuk melakukan amalan-amalan - yang
bagus-bagus - sebelum datangnya bermacam-macam fitnah yang diumpamakan sebagai
potongan-potongan dari malam yang gelap gulita." [10]
Berpagi-pagi seseorang itu menjadi orang mu'min dan berpetang-petang
menjadi orang kafir, ada lagi yang berpetang-petang masih sebagai seorang
mu'min, tetapi berpagi-pagi telah menjadi seorang kafir. Orang itu menjual
agamanya dengan harta dari keduniaan." (Riwayat Muslim)
88. Kedua: Dari Abu Sirwa'ah (dengan kasrahnya sin yang muhmalah dan
boleh pula dengan difathahkannya), iaitu 'Uqbah bin al-Harits r.a., katanya:
"Saya bersembahyang di belakang Nabi s.a.w. di Madinah yakni shalat 'ashar.
Kemudian setelah bersalam lalu berdiri bergegas-gegas, terus melangkahi leher
orang-orang banyak untuk menuju ke salah satu bilik isterinya. Orang-orang
banyak yang takut kerana melihat bergegas-gegasnya beliau itu. Selanjutnya Nabi
s.a.w. keluar lagi menemui sahabat-sahabatnya itu lalu mengetahui bahawa mereka
itu benar-benar terhairan-hairan kerana bergegas-gegasnya tadi. Beliau s.a.w.
lalu bersabda:
"Saya ingat pada sepotong emas yang ada di tempatku, maka saya tidak
senang kalau benda itu mengganggu fikiranku - untuk menghadap Allah Ta'ala. Oleh
sebab itu saya menyuruh supaya benda tadi dibahagi-bahagikan." (Riwayat
Bukhari)
Dan disebutkan dalam riwayat Imam Bukhari yang lain demikian: "Saya
meninggalkan di rumah sepotong emas dari hasil sedekah, maka saya tidak senang
kalau sampai menginapkannya."
At-tibru, ertinya ialah
potongan-potongan emas atau perak.
89. Ketiga: Dari Jabir r.a., katanya: Ada seorang lelaki berkata
kepada Nabi s.a.w. pada hari perang Uhud: "Bagaimanakah pendapat Tuan jikalau
saya terbunuh, di manakah tempatku?" Nabi s.a.w. bersabda:
"Dalam syurga."
Orang tersebut lalu melemparkan beberapa buah kurma yang masih di
tangannya kemudian berperang sehingga ia dibunuh - mati syahid." (Muttafaq
'alaih)
90. Keempat: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ada seorang lelaki
datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah, sedekah manakah yang
teragung pahalanya?" Beliau s.a.w. bersabda:
"Iaitu jikalau engkau bersedekah, sedangkan engkau itu masih sihat
dan sebenarnya engkau kikir - merasa sayang mengeluarkan sedekah itu, kerana
takut menjadi fakir dan engkau amat mengharap-harapkan untuk menjadi kaya.
Tetapi janganlah engkau menunda-nunda sehingga apabila nyawamu telah sampai di
kerongkong lalu berkata: "Untuk si Fulan itu, yang ini dan untuk si Fulan ini,
yang itu, sedangkan orang yang engkau maksudkan itu telah memiliki apa yang
hendak kau berikan." (Muttafaq 'alaih)
Hulqum adalah jalan
pernafasan sedang mari' adalah jalan makan dan minuman.
91. Kelima: Dari Anas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. mengambil
pedangnya pada hari perang Uhud, kemudian bersabda: "Siapakah yang suka
mengambil pedang ini daripadaku?" Orang-orang sama mengacungkan tangannya
masing-masing, yakni setiap orang dari sahabat-sahabat itu berbuat demikian
sambil berkata: "Saya, saya." Beliau berkata lagi: "Siapakah yang dapat
mengambilnya dengan menunaikan haknya?" Orang-orang semuanya berdiam diri.
Selanjutnya Abu Dujanah - namanya sendiri Simak bin Kharsah - berkata: "Saya
dapat mengambil pedang itu dengan menunaikan haknya." Pedang itu lalu digunakan
oleh Abu Dujanah untuk memenggal kepala-kepala kaum musyrikin." (Riwayat
Muslim)
92. Keenam: Dari Zubair bin 'adiy, katanya: "Kita semua mendatangi
Anas bin Malik r.a., kemudian kita mengadukan padanya perihal apa yang kita
temui dari perlakuan Hajjaj - seorang panglima dari dinasti Bani Umayyah dan ia
adalah seorang zalim, lalu Anas berkata: "Bersabarlah engkau sekalian, sebab
sesungguhnya saja tidaklah datang sesuatu zaman melainkan apa yang sesudahnya
itu tentu lebih buruk daripada zaman itu sendiri, demikian itu sehingga engkau
sekalian menemui Tuhanmu. Ucapan semacam ini pernah saya dengar dari
Nabimu
sekalian
s.a.w. (Riwayat Bukhari)
93. Ketujuh: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Bersegeralah engkau sekalian melakukan amalan-amalan -yang baik -
sebelum datangnya tujuh macam perkara. Apakah engkau sekalian menantikan -
enggan melakukan dulu, melainkan setelah tibanya kefakiran yang melalaikan, atau
tibanya kekayaan yang menyebabkan kecurangan, atau tibanya kesakitan yang
merosakkan, atau tibanya usia tua yang menyebabkan ucapan-ucapan yang tidak
keharuan lagi, atau tibanya kematian yang mempercepatkan - lenyapnya segala hal,
atau tibanya Dajjal, maka ia adalah seburuk-buruk makhluk ghaib yang ditunggu,
atau tibanya hari kiamat, maka hari kiamat itu adalah lebih besar bencananya
serta lebih pahit penanggunggannya."
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah
Hadis hasan.
94. Kelapan: Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda pada hari perang Khaibar:
"Nescayalah bendera ini akan kuberikan kepada seseorang lelaki yang
mencintai Allah dan RasulNya, Allah akan membebaskan - beberapa benteng musuh -
atas kedua tangannya."
Umar r.a. berkata: "Saya tidak menginginkan keimarahan -kepemimpinan
di medan perang - melainkan pada hari itu belaka kemudian saya bersikap untuk
menonjolkan diri pada Nabi s.a.w. dengan harapan agar saya dipanggil untuk
memegang bendera itu.
Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. memanggil Ali bin Abu Thalib r.a., lalu
memberikan bendera tadi padanya dan beliau s.a.w. bersabda:
"Berjalanlah dan jangan menoleh-noleh lagi sehingga Allah akan
membebaskan - benteng-benteng musuh - atasmu."
Ali berjalan beberapa langkah kemudian berhenti dan tidak menoleh,
kemudian berteriak:
"Ya Rasulullah, atas dasar apakah saya akan memerangi para manusia?"
Rasulullah s.a.w. menjawab:
"Perangilah mereka sehingga mereka suka menyaksikan bahawa tiada
Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah pesuruh Allah. Apabila
orang itu telah berbuat demikian, maka tercegahlah mereka itu daripadamu, baik
darah dan harta mereka, melainkan dengan haknya, sedang hisab mereka itu adalah
tergantung pada Allah." (Riwayat Muslim)
Fatasaawartu, dengan sin muhmalah
(yakni sin tak bertitik dan bukan syin yang bertitik tiga di atas), ertinya:
"Saya melompat ke muka untuk menampakkan diri."
Keterangan:
Maksud dari Hadis di atas itu ialah bahawa yang diperintahkan oleh
Rasulullah s.a.w. kepada Sayidina Ali r.a. dan seluruh pasukannya ialah
memerangi manusia-manusia musyrik yakni yang menyembah selain Allah atau yang
tidak mempercayai adanya Allah serta keesaanNya dan tidak pula mempercayai
tentang diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi apabila mereka suka mengikuti
seruan agama Islam yang benar, sama sekali tidak boleh diganggu, baik
keselamatan jiwa atau pun harta mereka.
Namun demikian, manakala hak atau ketentuan agama Islam menghendaki,
boleh saja seseorang itu dibunuh, seperti orang yang sengaja membunuh orang
lain. Jadi sekalipun sudah masuk Islam wajib pula dibunuh sebagai qishash atau
balasan pembunuhannya. Demikian pula seperti dipotong tangan kerana mencuri yang
sudah mencapai batas untuk bolehnya dipotong atau pun diberi hukuman pukul
(didera) serta direjam, menurut ketentuannya sendiri-sendiri, jika melakukan
perzinaan dan lain-lain lagi. Inilah yang dimaksudkan dengan sabda Nabi
s.a.w.
"Kecuali dengan haknya."
Mengenai hisab atau perhitungan amal perbuatan mereka adalah menjadi
urusan Allah Ta'ala sendiri.
Perlu dimaklumi bahawa golongan Ahlulkitab yakni kaum yang beragama
Nasrani atau Yahudi, tidak boleh secara langsung diperangi. Mereka diperbolehkan
memilih salah satu di antara dua hal yakni membayar pajak. Ini adalah pilihan
yang pertama. Jika mereka suka melaksanakan itu, mereka pun wajib dilindungi
keselamatan diri dan hartanya. Tetapi jikalau enggan, maka pilihan kedua boleh
dilaksanakan, iaitu boleh diperangi.
No comments:
Post a Comment